Ketahuilah olehmu bahawa kematian itu adalah satu perkara yang pasti dan ianya hanya berlaku sekali sahaja. Jika kamu jadikan ia (kematian) itu di jalan Allah, maka ia adalah keuntungan di dunia serta ganjarannya di akhirat. Dan apa yang menimpa kamu, itu semua adalah ketentuan yang telah ditentukan oleh Allah bagi kamu.
(Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna)

Ikhwan Muslimin pimpin Pakatan Rakyat Mesir terajui negara

Mohd Rashidi Hassan rashidi@harakah.net.my   
Harakahdaily.net
(Yang berada di Kaherah, Mesir)

MURSYIDUL AM Ikhwan Muslimin Mesir, Ustaz Dr Mohamad Badi’e Abdul Majid menyambut rombongan kami dengan penuh kemesraan.
Wajahnya penuh ceria, sambil bersalam dan memeluk kami semua, beliau mendoakan kesejahteraan kami serta kesejahteraan perjuangan Islam di Malaysia.
"Sampaikan salam hormat saya kepada pemimpin anda yang saya kasihi, Ustaz Abdul Hadi (Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang)," kata beliau kepada saya.
Pertemuan kami dengan beliau tidak lama, hanya sekitar 10 minit sahaja. Ianya pertemuan yang tidak dirancang, tiada temujanji dibuat dengan beliau.
Dr Mohamad Badi'e adalah Mursyidul Am ke sembilan Ikhwan Muslimin atau dikenali dengan nama Muslim Brotherhood. Ia diasaskan oleh al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949. Imam Hassan al-Banna dibunuh tentera Mesir di bawah pemerintahan Raja Farouk pada tahun 1949.